Monday, February 28, 2011

Karenah atau kerenah


Karenah ialah alamat, bukti, tanda.
Kerenah ialah ragam, tingkah laku, kemahuan: banyak benar ~nya budak ini.



Friday, February 25, 2011

Pesona atau persona

Kereta Pesona atau kereta persona
Pesona=guna-guna, mantera, sihir: ~, serapah dan pantun hukum diajarkan oleh pawang itu; ilmu ~ ilmu sihir, ilmu guna-guna; kena ~ kena guna-guna (sihir); membuat (mengenakan) ~ kpd mengenakan guna-guna (sihir) kpd; tukang ~ a) tukang (ahli) sihir; b) † bp pemimpin rakyat (yg kurang jujur);
Persona=orang.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), halaman 1194 memberikan makna persona (Sas- sastera ) sebagai; 1, watak rekaan di dalam cereka, drama, novel, dsb: 2. (Psi – psikologi) watak atau sifat seseorang seperti yang ditampilkan kepada orang lain atau seperti yang ditanggapi oleh orang lain; 3. IB (Indonesia Belanda) orang.

Daripada akar kata persona ini muncul perkataan-perkataan berikut:
persona grata (Latin) : orang yang boleh diterima atau dialu-alukan kehadirannya
persona non grata (Latin) : orang yang tidak diperlukan kehadirannya
personal : (bersifat) peribadi
personalia : IB (urusan dan lain-lain) yang berkaitan dengan orang-orang atau
nama-nama orang,
personaliti : keperibadian, perwatakan
personel : pegawai, kakitangan
personifikasi : pemberian (penyerapan) sifat-sifat manusia kepada benda tak
bernyawa atau sesuatu yang abstrak (pengorangan)

Pada halaman 1198 pula, kata pesona diberi makna sebagai; 1.guna-guna, mantera, sihir 2. pesonaan: kata-kata jahat untuk menyusahkan orang, fitnah.

Daripada kata pesona lahirlah perkataan :
mempesona : memikat (menarik) hati, sangat menarik perhatian
mempesonakan : 1. mengenakan pesona (sihir) mempesona, memikat, menggoda,
mengagumkan
terpesona : 1. kena pesona (jampi) terpukau oleh jampi-jampi 2. mempesona,
memikat, mengoda, mengagumkan
keterpesonaan : keadaan terpesona
kepesonaan : perihal (keadaan) pesona

Berdasarkan huraian di atas, unsur yang paling jelas membezakan kedua-dua perkataan ialah kehadiran huruf 'r' di antara 'e' dan 's'. Kehadiran huruf 'r' pada perkataan tersebut akan membezakan makna sebagaimana yang telah diterangkan di atas. Tegasnya, persona merujuk kepada manusia atau hal-hal yang berkaitan manusiawi, manakala pesona pula merujuk kepada pengaruh atau menarik perhatian.




Thursday, February 24, 2011

Gejala, isu dan masalah

Dalam kelas karya agung, ada tiga perkara yang kami belajar hari ini. Tiga perkara tersebut ialah gejala, isu, dan masalah. Ketiga-tiganya mempunyai pengertian yang berbeza dan penggunaannya juga berbeza. Gejala ialah simptom, fenomena, tanda-tanda. Isu ialah perkara yang boleh menyulitkan tetapi belum diselesaikan (tidak terdesak). Masalah pula ialah perkara yang perlu penyelesaian.



Wednesday, February 23, 2011

Kata-kata aluan atau kata alu-aluan


Penggunaan yang betul ialah kata alu-aluan. Hal ini demikian kerana dalam kamus tidak terdapat perkataan aluan.

Tuesday, February 22, 2011

Arahan Mengelirukan

Sila baca arahan ini.



Pada pendapat saya, arahan tersebut kurang jelas sehingga menimbulkan perkara yang sememangnya mahu dielakkan. Contohnya sila serahkan kunci ke kaunter apabila meninggalkan bilik supaya kes kehilangan kunci berlaku. Agak pelik bunyinya. Ayat yang betul ialah sila serahkan kunci di kaunter sebelum meninggalkan bilik supaya kes kehilangan kunci tidak berlaku.

Monday, February 21, 2011

Bacalah sebelum kamu dibacakan

Hari ini saya dengar ayat daripada sebuah stesen radio “bacalah sebelum kamu dibacakan”. Sebelum ini kita pernah dengar “sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan”. Sebenarnya penggunaan ayat tersebut adalah salah kerana selepas mengguna –kan mesti diikuti oleh objek atau diakhiri dengan imbuhan –i.

Jadi pembetulannya seperti di bawah:

Bacalah sebelum kamu dibacai.
Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangi.


Friday, February 18, 2011

Pusat beli-belah atau pusat membeli-belah


Penggunaan kata yang betul ialah pusat beli-belah. Hal ini demikian kerana pusat membeli-belah membawa maksud kompleks tersebut berjalan untuk melaksanakan urusan jual beli.


Thursday, February 17, 2011

Bahasa Melayu dan Jawi

Bahasa Melayu dengan bantuan tulisan Jawi yang dipadankan daripada aksara Arab telah menjadi pengungkap yang berkesan dalam segala bidang ilmu yang dibawa oleh pendakwah Islam pada waktu itu. Penulisan para cendekiawan Melayu tersebar dan membina minda Melayu dengan perantaraan tulisan jawi. Tokoh - tokoh ulama ulung mengarang kitab - kitab tasawwuf, tafsir, sirah dan ilmu kalam kepada ilmu ibadah, muamalat, munakahat, jinayat, sirah, tafsir dan adab.  Sejarawan menyimpan arkib sejarah Melayu manakala sasterawan menyampaikan isi hati dan perasaan, semuanya berperantarakan tulisan jawi.
Tulisan jawi adalah sebagai imej dan jati diri bangsa Melayu, juga simbol kepada kedaulatan Islam kepada Melayu. Baru-baru ini saya ada terbaca sebuah artikel bertajuk “ bila penjajah terkejut tulisan jawi dikuburkan”. Artikel ini menceritakan tentang seorang tentera yang berkhidmat suatu ketika dahulu di Tanah Melayu. Antara yang amat menarik perhatian saya ialah:
"Are you jawi people... errr I mean from Malaya?"
"Yes I am from Malaya. We call our country now as Malaysia."
"How do you have a good English (Latin character) writing?"
"Because simply I'd been grown up by this."
"Ohh dear me, I thought Malayan people are still using this Arabic or Quranic font to write their language. I still remember it's called jawi, and even a lot of people call your people as jawi."
Rupa-rupanya pakcik itu, seperti ratusan bahkan mungkin ribuan lagi warga British yang lain, pernah berkhidmat menjajah Tanah Melayu suatu masa dahulu.
Beliau terkejut kerana tulisan jawi sudah tidak lagi digunakan secara meluas di negara kita, sedangkan semasa beliau bertugas di negara kita sepanjang sekitar tahun 40-50an, tulisan jawi digunakan secara meluas. Bahkan beliau sendiri boleh mengingati beberapa huruf Arab/jawi.

Wednesday, February 16, 2011

Kebiasaan

Cuba lihat gambar di bawah:


Bahasa yang selalu digunakan tetapi cubalah menggunakan bahasa yang betul.
Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.

Tuesday, February 15, 2011

Kata-kata kecewa

Cuti yang lalu, saya keluar dengan seorang sahabat yang sudah lama tidak bertemu. Banyak yang kami bualkan. Dia menceritakan bahawa dia sudah putus cinta baru-baru ini.

Sahabat: kami dah putus (dengan nada yang sedih)
Saya: Ya ke? Namanya siapa? Kalau awak tidak kisah nak beritahu
(lantas menjawab)
Sahabat: Wahab
(tetapi beberapa saat kemudian)
Sahabat: Namanya Ridzuan (dengan nada yang tenang)


Saya nampak genangan air dimatanya. Dia juga mengatakan bahawa putus cinta merupakan sesuatu yang menyakitkan dan dia memberi nasihat supaya jangan mudah percaya dengan lelaki. 

Apa yang dapat saya perhatikan disini, pada mulanya dia mengatakan nama bekas teman lelakinya Wahab tetapi kemudian mengatakan Ridzuan. Mungkin disebabkan marah dan kecewa  sehingga dia tidak mahu menyebut nama sebenar lelaki itu. Mungkin juga Wahab itu nama orang lain atau nama bapa lelaki itu. Mungkin pada mulanya dia cuba menyembunyikan tetapi akhirnya memberitahu perkara sebenar.

Saya cuba memberi sedikit nasihat kepadanya bahawa Islam melarang “bercouple” dan ada kemanisan disebalik larangan tersebut dan jadikan perpisahan itu sebagai satu hikmah. Setelah beberapa ketika saya mengambil keputusan untuk berbual tentang perkara lain. Perkara yang sudah lepas biarlah menjadi pengalaman dan muhasabahlah diri untuk  menjadi lebih baik. 

Monday, February 14, 2011

Merbahaya atau berbahaya



Kata berbahaya adalah betul. Dalam bahaya Melayu tidak terdapat imbuhan meR-. Jadi, penggunaan merbahaya adalah salah sama sekali.

Friday, February 11, 2011

Dakwa atau Dakwah

Hari ini saya terjumpa sebuah gambar yang menyebabkan saya tersenyum sendiri.
Cuba lihat gambar ini.



Penceroboh akan didakwah. Satu pendekatan yang bagus. Saya sokong. Hihi..


Penambahan huruf dalam perkataan tersebut membawa maksud yang berlainan iaitu dakwa dan dakwah. Dakwa ialah aduan (tuntutan, tuduhan) yang dikemukakan di mahkamah manakala dakwah ialah kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan selalunya ajaran Islam.

Thursday, February 10, 2011

Iklan Buku

Dalam perjalanan ke kelas, bas yang saya naiki memutarkan radio IKIM.FM. Apa yang menarik perhatian saya ialah iklan yang diputarkan ketika itu. 

Iklannya berbunyi “harga buku RM 20 senakhah”.

Saya rasa lebih baik harga buku RM 20 sebuah. Buah merupakan penjodoh bilangan yang merujuk kepada untuk benda-benda besar dan padu, yang tidak mempunyai bentuk yang tertentu contohnya seperti buku, rumah, kereta, negeri, rumah, kotak, radio, bandar, kampung, piano, komputer, kamera dan sebagainya. Sebaliknya naskhah merupakan penjodoh bilangan yang merujuk untuk bahan seperti surat khabar, risalah, majalah dan makalah.


Wednesday, February 9, 2011

Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris

Kini, banyak perkataan yang diambil daripada perkataan bahasa Inggeris dan diserap masuk ke bahasa Melayu. Saya rasa itu boleh mendatangkan masalah di hari muka di mana perkataan bahasa Inggeris memonopoli atau mendominasi sesuatu wacana itu. Beberapa perkataan yang dimelayukan seperti
Family = Famili
Information = Informasi

Revolution = Revolusi

Itulah serba sedikit bahasa yang diterjemah dan dijadikan bahasa Melayu. Menurut pendapat saya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sepatutnya membuat kempen menggunakan atau mengembalikan kembali bahasa asli yang semakin di lupai generasi muda.

Contoh perkataan lama seperti khutub khanah, merinyu, tetuang udara, tunakarya dan banyak lagi.

Sepatutnya, selepas mengambil bahasa Inggeris menjadi bahasa Melayu, DBP sepatutnya memperkenalkan kembali bahasa Melayu lama itu. Kalau tidak, lama-kelamaan dalam kamus kita tu penuh dengan bahasa Inggeris sahaja.

Tuesday, February 8, 2011

Tolong jangan sentuh arnab

Cuti tahun baru cina membuatkan saya berkesempatan berjalan-jalan di Batu Pahat Mall (BP Mall) dan Carefour bersama abang dan adik-adik. Kemeriahan sambutan tahun baru cina memang terasa. Kecantikan bunga-bunga dan perhiasan membuatkan saya tertarik dan mengambil gambar sebagai kenangan. Tiba-tiba saya terlihat satu peringatan yang dilekatkan di sangkar arnab di dalam pasar raya itu.

                     "Tolong jangan sentuh arnab"

Jika orang tidak tahu, penggunaan ayat tersebut adalah betul dan seakan biasa digunakan oleh masyarakat. Namun, bagi orang yang mempelajari ilmu bahasa, ayat tersebut adalah salah kerana menggunakan kata silaan dalam ayat larangan.


                                  comelkan arnabnya....

Monday, February 7, 2011

Khutub Khanah?

Khutub khanah? Rasanya ramai yang tidak pernah dengar. Semasa dalam perjalanan pulang ke kampung di Melaka, saya terpandang sebuah tempat yang menggunakan papan tanda “Khutub Khanah Desa” berhampiran Masjid Sebatu, Jasin, Melaka. Namun, sedikit terkilan kerana saya tidak sempat mengambil gambar tersebut. Menurut ibu saya, penggunaan nama khutub khanah sering digunakan pada masa dahulu, tetapi kini tidak lagi. Khutub khanah bermaksud perpustakaan. Menurut Dr. Abu Hassan Abdul, perkataan khutub khanah berasal dari bahasa Turki / Arab dan sering digunakan masyarakat dahulu. Pada pendapat saya, perkataan tersebut harus diperkenalkan semula supaya generasi muda kini tidak melupakan bahasa yang pernah digunakan pada masa dahulu.