Wednesday, March 9, 2011

Lorong "touch n go"


Di plaza tol lebuh raya kini terdapat bahasa tanda yang berbunyi, “Lorong Touch ‘n Go”. Bahasa apa ini? Inilah dia bahasa rojak rasmi. Inilah yang dikatakan pandai meniru tetapi tidak menuras. Kenapa tidak dipakai saja istilah “Lorong pacu segera” atau “Lorong tekan & pacu” Sudahkah kita betul-betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum sewenang-wenang menggunakan “touch ‘n go” Jika tiada azam perjuangan yang kental untuk menggunakan bahasa sendiri lantaran istilahnya cukup dalam bahasa sendiri, kita juga nanti akan dipanggil bangsa touch ‘n go. Selagi tiada tindakan, selagi itu tiada perubahan.


Tuesday, March 8, 2011

Janji temu atau temu janji


Penggunaan yang betul ialah janji temu. Hal ini demikian kerana kata janji merupakan unsur  yang diterang manakala kata temu pula unsur yang menerang. Sesungguhnya kita  membuat janji untuk bertemu bukannya bertemu untuk berjanji.  


Monday, March 7, 2011

Rapat atau jauh

Hari ini, saya telah menemani seorang sahabat ke sebuah klinik. Semasa menunggu, saya terlihat satu memo seperti di bawah.



Penggunaan "maklumbalas" dan "jangkamasa" dieja dengan rapat walhal kedua-dua perkataan tersebut bukannya kata majmuk mantap yang perlu dieja rapat. Penggunaan yang tepat ialah maklum balas dan jangka masa.

Friday, March 4, 2011

Sedikit sebanyak atau sedikit banyak


Frasa yang betul ialah sedikit banyak. Hal ini kerana sedikit lawannya banyak.
Contoh ayat:
Aisya menjual kuih sedikit banyak dapat menampung perbelanjaan harian keluarganya.



Thursday, March 3, 2011

Pendingin hawa atau penghawa dingin


Penggunaan yang betul ialah pendingin hawa. Hal ini demikian kerana kata pendingin merupakan unsur yang diterang manakala kata hawa pula merupakan unsur yang menerang.

Wednesday, March 2, 2011

Teladan atau tauladan


Penggunaan kata teladan adalah betul. Hal ini demikian kerana kata tauladan adalah salah mengikut tatabahasa.

Tuesday, March 1, 2011

Setinggi-tinggi terima kasih atau setinggi terima kasih


Penggunaan yang betul ialah frasa setinggi-tinggi terima kasih. Hal ini demikian kerana kata setinggi-tinggi  membawa erti yang paling tinggi, iaitu darjah penghabisan. Maksud yang ingin disampaikan dalam ungkapan ini ialah rasa terima kasih yang paling tinggi.  Kata setinggi membawa maksud sama tinggi, iaitu aspek perbandingan.
Contoh ayat: Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kesudian tuan merasmikan bengkel ini.