Friday, January 28, 2011

Mentadak mentadu

Bahasa milik semua makhluk. Dalam hal berbahasa, manusialah yang cukup bertuah berbanding dengan makhluk lain. Manusia boleh berbahasa sesama manusia dan makhluk lain, serta memahami bahasa makhluk lain dalam keupayaan yang terhad. Begitu juga dengan pemahaman makhluk lain yang terhad terhadap bahasa manusia.
Jika semasa kecil dahulu, belakang rumah dikelilingi dengan hutan jadi banyaklah serangga yang kadang kala tersesat masuk ke dalam rumah. Serangga yang paling disukai ialah mentadak mentadu atau dalam bahasa Inggerisnya “Praying mantis”. Kami adik-beradik akan berkumpul dan melihat serangga itu tanpa jemu. Cantik betul rupa mentadak mentadu ini. Kami akan “bertanya” kepada mentadak mentadu.

“Mentadak mentadu, macam mana adik tidur.”

Mentadak akan membuat aksi seperti aksi adik tidur sebagai jawapannya kepada pertanyaan kami itu.

Hi! Hi! Hi! Kami semua ketawa melihat mentadak yang terlentang sambil kakinya terangkat ke atas.
Mungkin anda yang membaca juga pernah melakukannya pada suatu ketika dulu.  Kalau ya sila senyum…kerana bukan semua orang memiliki pengalaman seperti itu.

Jika diikutkan dengan ilmu sains dan pengamatan sendiri, mentadak ini merupakan golongan serangga yang lemah, tidak menyerang balas ketika diusik dan tidak mempunyai senjata yang kuat untuk melawan musuhnya. Tidak seperti lebah dan tebuan yang mampu menakutkan manusia dengan sengatan berbisanya. Kalau ada pun, mungkin dari segi warnanya yang boleh berubah mengikut warna daun atau kayu untuk mengaburi mata pihak musuh. Oleh sebab itulah, untuk mempertahankan dirinya mentadak bertindak mendiamkan diri sambil membuka kaki dan kepaknya seluas-luasnya serta mengangakan mulutnya, supaya kelihatan lebih besar saiznya sehingga boleh menakutkan musuh-musuh yang cuba menganggunya.

Kalau diikutkan nama dalam bahasa Inggeris “Praying Mantis” memang bertepatan dengan namanya. "Praying" maksudnya berdoa dan "mantis" maksudnya mentadak. Mentadak ini berdoa “Ya Allah selamatkanlah aku daripada diapa-apakan oleh anak-anak ini, selamatkanlah aku.” Sehinggakan kita dapat melihat mulut mentadak ini terkumat-kamit seakan berdoa.

Kini, “pertanyaan” seperti itu sukar saya lontarkan lagi kepada mentadak. Mentadak kini sukar ditemui apatah lagi untuk “bercakap” dengannya. Spesis mentadak kian pupus akibat kerakusan manusia yang mengejar pembangunan dan tidak menghargai hijau alam ini.



                                       Mentadak 

Thursday, January 27, 2011

Terima Kasih

Mengucapkan terima kasih merupakan suatu budaya yang baik dan murni. Budaya berterima kasih dalam kalangan pelajar UPSI agak baik terutama apabila hendak turun bas dan membeli makanan. Contohnya setiap kali turun bas, ucapan ini tidak pernah lekang di bibir. Bukan hanya bas di kolej kediaman dan kampus sahaja tetapi terbiasa semasa menaiki bas untuk balik ke kampung atau bas-bas awam untuk ke bandar. Namun, adakah ianya sekadar dibibir atau ikhlas dari hati? 


Wednesday, January 26, 2011

Hijrah

Sambil membuat tugasan saya mendengar radio nasyid.fm. Tiba-tiba saya terdengar lagu yang diputarkan begitu syahdu sekali. Lagu bertajuk Hijrah oleh Mu’adz. Lagu ini dinyanyikan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Arab, Melayu dan Inggeris. Antara yang menyebabkan saya tertarik dengan lagu ini ialah liriknya iaitu Nabi Muhammad S.A.W pernah berkata “sesungguhnya setiap amalan bermula dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap insan, (amalannya bergantung) kepada apa yang dia niatkan, maka barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan rasulnya maka hijrahnya kepada Allah dan rasulnya. Dan barang siapa yang hijrahnya sekadar untuk keduniaan yang ingin dicapainya atau sekadar untuk wanita yang ingin dia kahwini maka penghijrahannya menuju kepada apa yang dia niatkan bila dia berhijrah kepadanya”. Renung-renungkanlah…

Tuesday, January 25, 2011

Amaran

Hari ini saya menonton filem Damping Malam. Apa yang nak ditulis di sini bukan cerita itu tetapi sebelum cerita itu bermula. Sebelum cerita itu bermula, terdapat amaran seperti berikut:

Amaran:
Pengidap penyakit jantung dan ibu-ibu mengandung dinasihatkan agar tidak menonton filem ini.

Menurut pendapat saya, kata pengidap tersebut tidak sesuai digunakan. Kata yang sesuai ialah penghidap. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, penghidap ialah orang yang menghidap (menanggung) sesuatu penyakit. 



      Inilah amaran yang tertera sebelum filem bermula.

Monday, January 24, 2011

Seminar Sosiolinguistik


Pada hari Jumaat yang lalu, saya telah menghadiri seminar sosiolinguistik di Dewan Sri Tanjung. Penceramah jemputan ialah Prof. Dr. Awang Sariyan. Tidak sangka dapat jumpa beliau. Zaman sekolah dahulu hanya tengok gambar, itu pun bahagian kepala sahaja. Apabila lihat dengan mata dan kepala sendiri baru saya tahu bahawa orangnya kecil-kecil cili padi. Walaupun kecil banyak jasanya kepada negara. Pengetahuannya begitu luas terutama berkaitan bahasa dan masyarakat contohnya perkaitan antara masyarakat China dan Islam.
Saya begitu tertarik dengan cerita-cerita beliau yang bukannya sekadar cakap kosong tetapi setelah dibuat kajian. Antaranya tentang perkataan Ma dan Na. menurut beliau, orang Islam di China dapat dikenal dengan agak mudah berdasarkan nama keluarga (yang letaknya di pangkal nama seseorang) walaupun tidak semua orang Islam di China menggunakan nama berkenaan. Tentang nama Ma, terdapat etimologi atau asal usul kata yang menarik. Kata itu dalam bahasa Mandarin (dengan sebutan nada 3) bermakna 'kuda'. Orang Islam pada zaman dahulu banyak yang berniaga kuda; lalu lekatlah nama keluarga itu di pangkal nama orang yang berketurunan peniaga kuda.
Sementara itu, nama keluarga Na pula dipercayai ada kaitannya dengan keturunan yang bernasab Nabi Muhammad, sama dengan kepercayaan dalam masyarakat Melayu bahawa Sayid atau Syed itu ada kaitannya dengan keturunan Nabi.
Pada pendapat saya, perkara tersebut sangat menarik untuk dikaji malah semakin meyakinkan apabila ada hadis Nabi Muhammad S.A.W  yang mengatakan

      “Tuntutlah ilmu  sampai ke negeri China.”

 Mungkin banyak lagi rahsia yang belum terungkap. Waallahua’lam.


                      Prof. Dr. Awang Sariyan

Friday, January 21, 2011

Peristiwa di Perhentian Bas

Semasa menyusun buku, tiba-tiba sehelai kertas tentang kanak-kanak istimewa telah terjatuh. Di situ tercatat tentang buta, pekak, pintar cerdas dan juga bisu. Bisu? Saya teringat masa zaman sekolah dahulu pada tahun 2007. Masa itu, saya sedang menunggu bas untuk balik ke rumah. Semasa menunggu, saya lihat ada seorang lelaki yang juga menunggu bas. Tiba-tiba lelaki yang berbaju biru dan berkulit cerah itu cuba berinteraksi dengan saya. Saya agak takut ketika itu. Dalam hati ini, hanya tuhan sahaja yang tahu, betapa takutnya saya. Pada masa itu, saya hanya terfikir bahawa mungkin lelaki ini perogol, gila seks, orang gila dan yang buruk-buruk belaka. Namun, dia hanya tersenyum manis dan menggerakkan tangan dan isyarat ke arah mukanya kemudian menunjuk tanda “good” ke arah saya. Saya terkejut. Setelah berfikir agak lama baru saya faham apa yang dimaksudkannya. Lelaki itu sebenarnya memuji wajah saya. Cantik ke? Saya hanya tersenyum dan menunduk sedikit sebagai menghormatinya dan tanda berterima kasih atas pujian itu. Sebenarnya lelaki itu bisu dan saya pula lambat untuk mentafsir bahasa isyarat itu. Bagi saya peristiwa itu sungguh melucukan. Berburuk sangka kepada orang merupakan perkara yang tidak baik. Sebagai manusia kita mestilah “husnuzon” iaitu bersangka baik namun perlu berhati-hati juga. (^^,).


Thursday, January 20, 2011

Kawanku "multilingual"

Hari ini cuti Thaipusam Jadi, saya dan rakan sebilik saya iaitu Hijannah hanya duduk di rumah sambil menyiapkan tugasan. Untuk mengelakkan rasa mengantuk dan kebosanan, kami telah berbual tentang keluarga. Dia telah menceritakan bahawa keluarganya adalah keturunan Melayu-India-Pakistan. Apa yang istimewa lagi, dia berkebolehan bercakap dalam bahasa Melayu, Tamil, Hindi, Arab, Inggeris dan mula berjinak-jinak mendalami bahasa Jepun. Hebat bukan?

Hal ini tidak terjadi kepada adik-adiknya yang lain. Disebabkan dia merupakan anak sulung dan cucu pertama dalam keluarga, dia dibesarkan dalam persekitaran yang berkomunikasi dalam pelbagai bahasa. Datuknya bercakap dalam bahasa Pakistan, emaknya pula lebih menekankan bahasa Hindi, bahasa Arab dipelajari masa disekolah, bahasa Inggeris menjadi majornya di UPSI manakala bahasa Jepun sebagai penggayaan diri. Sempat juga saya mempelajari beberapa perkataan dalam bahasa Tamil iaitu vange-vange iaitu selamat datang, atta iaitu abah dan banyak lagi. Lebih seronok lagi apabila menonton televisyen atau cerita. Dia boleh faham cerita tersebut tanpa melihat sari kata dibawah. Saya rasa cemburu pula tetapi dari aspek yang baik ya.

Namun, dia masih merendah diri. Walaupun dia berkebolehan dalam bidang bahasa, namun dia mengakui tentang kelemahannya iaitu dari aspek nombor terutama matematik hinggakan melihat peratus jualan di pasaraya pun dia sudah pening. Dia mengatakan bahawa benda itu lebih merumitkan dan otaknya tidak mahu berfikir tentang itu. Sememangnya setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangannya.


Tanda seperti ini boleh menyebabkan Hijannah pening kepala...