Tuesday, February 15, 2011

Kata-kata kecewa

Cuti yang lalu, saya keluar dengan seorang sahabat yang sudah lama tidak bertemu. Banyak yang kami bualkan. Dia menceritakan bahawa dia sudah putus cinta baru-baru ini.

Sahabat: kami dah putus (dengan nada yang sedih)
Saya: Ya ke? Namanya siapa? Kalau awak tidak kisah nak beritahu
(lantas menjawab)
Sahabat: Wahab
(tetapi beberapa saat kemudian)
Sahabat: Namanya Ridzuan (dengan nada yang tenang)


Saya nampak genangan air dimatanya. Dia juga mengatakan bahawa putus cinta merupakan sesuatu yang menyakitkan dan dia memberi nasihat supaya jangan mudah percaya dengan lelaki. 

Apa yang dapat saya perhatikan disini, pada mulanya dia mengatakan nama bekas teman lelakinya Wahab tetapi kemudian mengatakan Ridzuan. Mungkin disebabkan marah dan kecewa  sehingga dia tidak mahu menyebut nama sebenar lelaki itu. Mungkin juga Wahab itu nama orang lain atau nama bapa lelaki itu. Mungkin pada mulanya dia cuba menyembunyikan tetapi akhirnya memberitahu perkara sebenar.

Saya cuba memberi sedikit nasihat kepadanya bahawa Islam melarang “bercouple” dan ada kemanisan disebalik larangan tersebut dan jadikan perpisahan itu sebagai satu hikmah. Setelah beberapa ketika saya mengambil keputusan untuk berbual tentang perkara lain. Perkara yang sudah lepas biarlah menjadi pengalaman dan muhasabahlah diri untuk  menjadi lebih baik. 

Monday, February 14, 2011

Merbahaya atau berbahaya



Kata berbahaya adalah betul. Dalam bahaya Melayu tidak terdapat imbuhan meR-. Jadi, penggunaan merbahaya adalah salah sama sekali.

Friday, February 11, 2011

Dakwa atau Dakwah

Hari ini saya terjumpa sebuah gambar yang menyebabkan saya tersenyum sendiri.
Cuba lihat gambar ini.



Penceroboh akan didakwah. Satu pendekatan yang bagus. Saya sokong. Hihi..


Penambahan huruf dalam perkataan tersebut membawa maksud yang berlainan iaitu dakwa dan dakwah. Dakwa ialah aduan (tuntutan, tuduhan) yang dikemukakan di mahkamah manakala dakwah ialah kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan selalunya ajaran Islam.

Thursday, February 10, 2011

Iklan Buku

Dalam perjalanan ke kelas, bas yang saya naiki memutarkan radio IKIM.FM. Apa yang menarik perhatian saya ialah iklan yang diputarkan ketika itu. 

Iklannya berbunyi “harga buku RM 20 senakhah”.

Saya rasa lebih baik harga buku RM 20 sebuah. Buah merupakan penjodoh bilangan yang merujuk kepada untuk benda-benda besar dan padu, yang tidak mempunyai bentuk yang tertentu contohnya seperti buku, rumah, kereta, negeri, rumah, kotak, radio, bandar, kampung, piano, komputer, kamera dan sebagainya. Sebaliknya naskhah merupakan penjodoh bilangan yang merujuk untuk bahan seperti surat khabar, risalah, majalah dan makalah.


Wednesday, February 9, 2011

Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris

Kini, banyak perkataan yang diambil daripada perkataan bahasa Inggeris dan diserap masuk ke bahasa Melayu. Saya rasa itu boleh mendatangkan masalah di hari muka di mana perkataan bahasa Inggeris memonopoli atau mendominasi sesuatu wacana itu. Beberapa perkataan yang dimelayukan seperti
Family = Famili
Information = Informasi

Revolution = Revolusi

Itulah serba sedikit bahasa yang diterjemah dan dijadikan bahasa Melayu. Menurut pendapat saya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sepatutnya membuat kempen menggunakan atau mengembalikan kembali bahasa asli yang semakin di lupai generasi muda.

Contoh perkataan lama seperti khutub khanah, merinyu, tetuang udara, tunakarya dan banyak lagi.

Sepatutnya, selepas mengambil bahasa Inggeris menjadi bahasa Melayu, DBP sepatutnya memperkenalkan kembali bahasa Melayu lama itu. Kalau tidak, lama-kelamaan dalam kamus kita tu penuh dengan bahasa Inggeris sahaja.

Tuesday, February 8, 2011

Tolong jangan sentuh arnab

Cuti tahun baru cina membuatkan saya berkesempatan berjalan-jalan di Batu Pahat Mall (BP Mall) dan Carefour bersama abang dan adik-adik. Kemeriahan sambutan tahun baru cina memang terasa. Kecantikan bunga-bunga dan perhiasan membuatkan saya tertarik dan mengambil gambar sebagai kenangan. Tiba-tiba saya terlihat satu peringatan yang dilekatkan di sangkar arnab di dalam pasar raya itu.

                     "Tolong jangan sentuh arnab"

Jika orang tidak tahu, penggunaan ayat tersebut adalah betul dan seakan biasa digunakan oleh masyarakat. Namun, bagi orang yang mempelajari ilmu bahasa, ayat tersebut adalah salah kerana menggunakan kata silaan dalam ayat larangan.


                                  comelkan arnabnya....

Monday, February 7, 2011

Khutub Khanah?

Khutub khanah? Rasanya ramai yang tidak pernah dengar. Semasa dalam perjalanan pulang ke kampung di Melaka, saya terpandang sebuah tempat yang menggunakan papan tanda “Khutub Khanah Desa” berhampiran Masjid Sebatu, Jasin, Melaka. Namun, sedikit terkilan kerana saya tidak sempat mengambil gambar tersebut. Menurut ibu saya, penggunaan nama khutub khanah sering digunakan pada masa dahulu, tetapi kini tidak lagi. Khutub khanah bermaksud perpustakaan. Menurut Dr. Abu Hassan Abdul, perkataan khutub khanah berasal dari bahasa Turki / Arab dan sering digunakan masyarakat dahulu. Pada pendapat saya, perkataan tersebut harus diperkenalkan semula supaya generasi muda kini tidak melupakan bahasa yang pernah digunakan pada masa dahulu.