Monday, February 28, 2011

Karenah atau kerenah


Karenah ialah alamat, bukti, tanda.
Kerenah ialah ragam, tingkah laku, kemahuan: banyak benar ~nya budak ini.



Friday, February 25, 2011

Pesona atau persona

Kereta Pesona atau kereta persona
Pesona=guna-guna, mantera, sihir: ~, serapah dan pantun hukum diajarkan oleh pawang itu; ilmu ~ ilmu sihir, ilmu guna-guna; kena ~ kena guna-guna (sihir); membuat (mengenakan) ~ kpd mengenakan guna-guna (sihir) kpd; tukang ~ a) tukang (ahli) sihir; b) † bp pemimpin rakyat (yg kurang jujur);
Persona=orang.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), halaman 1194 memberikan makna persona (Sas- sastera ) sebagai; 1, watak rekaan di dalam cereka, drama, novel, dsb: 2. (Psi – psikologi) watak atau sifat seseorang seperti yang ditampilkan kepada orang lain atau seperti yang ditanggapi oleh orang lain; 3. IB (Indonesia Belanda) orang.

Daripada akar kata persona ini muncul perkataan-perkataan berikut:
persona grata (Latin) : orang yang boleh diterima atau dialu-alukan kehadirannya
persona non grata (Latin) : orang yang tidak diperlukan kehadirannya
personal : (bersifat) peribadi
personalia : IB (urusan dan lain-lain) yang berkaitan dengan orang-orang atau
nama-nama orang,
personaliti : keperibadian, perwatakan
personel : pegawai, kakitangan
personifikasi : pemberian (penyerapan) sifat-sifat manusia kepada benda tak
bernyawa atau sesuatu yang abstrak (pengorangan)

Pada halaman 1198 pula, kata pesona diberi makna sebagai; 1.guna-guna, mantera, sihir 2. pesonaan: kata-kata jahat untuk menyusahkan orang, fitnah.

Daripada kata pesona lahirlah perkataan :
mempesona : memikat (menarik) hati, sangat menarik perhatian
mempesonakan : 1. mengenakan pesona (sihir) mempesona, memikat, menggoda,
mengagumkan
terpesona : 1. kena pesona (jampi) terpukau oleh jampi-jampi 2. mempesona,
memikat, mengoda, mengagumkan
keterpesonaan : keadaan terpesona
kepesonaan : perihal (keadaan) pesona

Berdasarkan huraian di atas, unsur yang paling jelas membezakan kedua-dua perkataan ialah kehadiran huruf 'r' di antara 'e' dan 's'. Kehadiran huruf 'r' pada perkataan tersebut akan membezakan makna sebagaimana yang telah diterangkan di atas. Tegasnya, persona merujuk kepada manusia atau hal-hal yang berkaitan manusiawi, manakala pesona pula merujuk kepada pengaruh atau menarik perhatian.




Thursday, February 24, 2011

Gejala, isu dan masalah

Dalam kelas karya agung, ada tiga perkara yang kami belajar hari ini. Tiga perkara tersebut ialah gejala, isu, dan masalah. Ketiga-tiganya mempunyai pengertian yang berbeza dan penggunaannya juga berbeza. Gejala ialah simptom, fenomena, tanda-tanda. Isu ialah perkara yang boleh menyulitkan tetapi belum diselesaikan (tidak terdesak). Masalah pula ialah perkara yang perlu penyelesaian.



Wednesday, February 23, 2011

Kata-kata aluan atau kata alu-aluan


Penggunaan yang betul ialah kata alu-aluan. Hal ini demikian kerana dalam kamus tidak terdapat perkataan aluan.

Tuesday, February 22, 2011

Arahan Mengelirukan

Sila baca arahan ini.



Pada pendapat saya, arahan tersebut kurang jelas sehingga menimbulkan perkara yang sememangnya mahu dielakkan. Contohnya sila serahkan kunci ke kaunter apabila meninggalkan bilik supaya kes kehilangan kunci berlaku. Agak pelik bunyinya. Ayat yang betul ialah sila serahkan kunci di kaunter sebelum meninggalkan bilik supaya kes kehilangan kunci tidak berlaku.

Monday, February 21, 2011

Bacalah sebelum kamu dibacakan

Hari ini saya dengar ayat daripada sebuah stesen radio “bacalah sebelum kamu dibacakan”. Sebelum ini kita pernah dengar “sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan”. Sebenarnya penggunaan ayat tersebut adalah salah kerana selepas mengguna –kan mesti diikuti oleh objek atau diakhiri dengan imbuhan –i.

Jadi pembetulannya seperti di bawah:

Bacalah sebelum kamu dibacai.
Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangi.


Friday, February 18, 2011

Pusat beli-belah atau pusat membeli-belah


Penggunaan kata yang betul ialah pusat beli-belah. Hal ini demikian kerana pusat membeli-belah membawa maksud kompleks tersebut berjalan untuk melaksanakan urusan jual beli.