Saturday, April 2, 2011

Pengajaran Makro


Pengalaman menjalankan pengajaran makro di Sekolah Menengah Teknik Vokasional Slim River merupakan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Dalam perjalanan untuk masuk ke kelas, ada beberapa orang pelajar yang lagi jauh sudah tersenyum. Bila semakin hampir dan berselisih jalan, pelajar tersebut tersenyum lalu mengucapkan “ Assalamualaikum cikgu”. Saya pun menjawab salam tersebut sambil tersenyum. Walaupun, saya belum ditauliahkan sebagai guru yang sebenar namun, ucapan salam dan perkataan “cikgu” itu tadi menyebabkan saya tersenyum lantas mengaminkan ucapan tersebut. 


Bahasa dan Air?


Apa kaitannya? Sememangnya air merupakan salah satu rahmat Allah kepada manusia, manusia tidak boleh hidup tanpa air, dan manusia tidak boleh hidup tanpa rahmat dari Allah. Sepertimana yang telah diketahui, ada kajian dari pakar tentang air dari Jepun. Beliau telah menunjukkan hasil kajiannya mengenai air. Sampel-sampel air yang diambil dari berbagai sumber air (sungai, laut, perigi dan bermacam lagi). Maka terpancarlah berbagai-bagai rupa bentuk susunan molekul-molekul air tersebut. Ada yang berupa seolah-olah seperti jin tetapi samar-samar, tidak begitu jelas (dengan telinga yang besar, bertanduk dan sebagainya) rupa yang menggerunkan dan menakutkan. Kemudian beliau, menunjukkan pula satu rupa bentuk molekul air yang tersusun cantik seolah-olah seperti berlian (bersegi-segi), bersinar-sinar dan sinarannya mengeluarkan warna-warna yang menarik melebihi 12 warna. Ia adalah sampel air zam-zam kerana air zam-zam adalah air yang termulia didunia ini.
Bukan itu sahaja, beliau mengatakan bahawa, kata-kata juga dapat mempengaruhi rupa bentuk molekul-molekul air. Apabila seorang ustaz, membaca Al-Fatihah, Selawat dan Ayat Kursi ke gelas yang mengandungi air maka nampaklah rupa molekul air seperti berlian dan berkilau-kilau tetapi apabila ustaz tersebut membaca sebarang ayat atau kata-kata yang tidak baik…maka molekul seakan berlian itu tadi menjadi seakan molekul barah. Subhanallah….Jadi jangan mengumpat, mencarut, mengata, mengutuk di depan air. AIR ADALAH BENDA HIDUP. Ia dengar, rakam dan memindahkan semula.
Saya tertarik dengan kata-kata dari seorang ustaz  : “Jika hendak air itu merasa manis maka masukkanlah gula, jika hendak air itu berwarna maka masukkanlah pewarna dan jika hendak air itu mulia maka masukanlah ayat-ayat yang mulia kepadanya”.


Wednesday, March 30, 2011

Bahasa F


Semasa kecil dahulu, saya dan adik Atin mempelajari bahasa F dari seorang guru yang masih saya ingat sehingga sekarang iaitu Cikgu Abdul Rahman. Bahasa yang kami pelajari ini diaplikasikan di rumah. Jika hendak bermain di luar rumah, kadang kala kami tidak suka adik Eyat kami turut serta. Jadi untuk berkomunikasi dengan adik Atin, kami menggunakan bahasa F. Adik Eyat yang tidak memahami apa yang kami perkatakan terpinga-pinga.
Contohnya:
Saya: Afatinfin, nanfantifi kifitafa perfergifi befelafakangfang mafainfin mafasakfak defenganfan Ufujifii    
(Atin, nanti kita pergi belakang main masak-masak dengan Uji)
Atin: Jomfom, Yafatifi punfun nakfak mafainfin sefekafalifi. Tungfunggufu Efiyatfat tifidurfur.
(Jom, Yati pun nak main sekali. Tunggu Eyat tidur)

Kini, kami semua sudah besar dan adik Eyat sudah memahami bahasa F tersebut. Menurut pembacaan saya, bahasa F ini merupakan bahasa rahsia yang digunakan di sebuah kilang di Batu Pahat. Bahasa F ini digunakan dalam kalangan pekerjanya terutamanya jika membabitkan masalah dengan pihak atasan. Hari ini, dapat dilihat pelbagai variasi bahasa ini seperti bahasa K, M dan G namun asasnya tetap bahasa Melayu.



Friday, March 11, 2011

Budi bahasa

Semasa mencari buku di perpustakaan, ada seorang yang ingin lalu di tempat saya mencari buku tanpa saya sedari. Seperti mana yang telah kita maklum, jarak antara rak memang kecil.

Pelajar: lalu sikit (agak kasar)
Saya : maaf…(tetapi dalam hati rasa marah juga)

Pada pandangan saya, jika ingin lalu, ucaplah dengan sopan seperti “maaf, saudari tumpang lalu” atau “tumpang lalu”.
Walau bagaimanapun ia menjadi peringatan buat saya. Berbudi bahasa dalam apa jua keadaan. Integriti bahasa membina integriti bangsa.



Thursday, March 10, 2011

Driver atau drebar


Perkataan “drebar” ialah bentuk bahasa pasar bagi perkataan Inggeris driver. Padanan yang tepat dalam bahasa Melayu bagi driver ialah  pemandu. Perkataan “drebar” tidak boleh digunakan dalam situasi rasmi apatah lagi dalam penulisan kerana ini akan menyebabkan pencemaran bahasa kebangsaan. Oleh itu, dalam situasi rasmi, perkataan pemandu hendaklah digunakan.


Wednesday, March 9, 2011

Lorong "touch n go"


Di plaza tol lebuh raya kini terdapat bahasa tanda yang berbunyi, “Lorong Touch ‘n Go”. Bahasa apa ini? Inilah dia bahasa rojak rasmi. Inilah yang dikatakan pandai meniru tetapi tidak menuras. Kenapa tidak dipakai saja istilah “Lorong pacu segera” atau “Lorong tekan & pacu” Sudahkah kita betul-betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum sewenang-wenang menggunakan “touch ‘n go” Jika tiada azam perjuangan yang kental untuk menggunakan bahasa sendiri lantaran istilahnya cukup dalam bahasa sendiri, kita juga nanti akan dipanggil bangsa touch ‘n go. Selagi tiada tindakan, selagi itu tiada perubahan.


Tuesday, March 8, 2011

Janji temu atau temu janji


Penggunaan yang betul ialah janji temu. Hal ini demikian kerana kata janji merupakan unsur  yang diterang manakala kata temu pula unsur yang menerang. Sesungguhnya kita  membuat janji untuk bertemu bukannya bertemu untuk berjanji.