Baru-baru ini, saya telah menghadiri Bengkel Pemantapan Rakan Penggerak Addin (RPA) Sesi 2 2010/2011. Pada mulanya, terasa seperti mahu meletak jawatan sahaja dari terlibat dalam program ini namun atas sokongan rakan-rakan naqibah yang lain, saya masih meneruskannya untuk semester yang terakhir ini. Pejam celik, pejam celik sudah 3 semester saya menyertai RPA ini. Menjadi naqibah sememangnya tanggungjawab yang besar. Ia merupakan amanah. Saya menyertainya pun kerana ALLAH dan rasa tanggungjawab menyampaikan apa yang diketahui seperti sabda Rasulullah S.A.W;
“Sampaikanlah walau satu ayat”
Saya pegang prinsip itu hingga ke hari ini. Berbalik kepada bengkel, ramai naqib dan naqibah yang hadir mengimarahkan bengkel ini. Semuanya datang dari empat kolej kediaman UPSI iaitu KHAR, KUO, KZ dan KAB. Pengisian bengkel dalam sesi yang pertama disampaikan oleh Ustaz Abdul Nasir bin Abdul Latif dengan tajuk kewajipan mahasiswa berakhlak dengan akhlak seorang muslim manakala dalam sesi kedua bertajuk tanggungjawab dan peranan mahasiswa dalam memahami akidah seorang muslim oleh Ustaz Ahmad Dasuki bin Abdul Rani. Pengalaman dan ilmu diceritakan secara santai menjadikan pengisian tersebut lebih menarik dan berkesan. Banyak ilmu yang dapat dipelajari seperti tiga perkara iaitu memahami akidah, ibadat dan akhlak. Ustaz mengingatkan jika runtuh akhlak, maka akan runtuh ibadat dan kemudian runtuh akidah. Hal ini menyebabkan Islam akan “tertanggal” sedikit demi sedikit daripada individu tersebut.
Saya juga tertarik dengan kata-kata ustaz Rosli iaitu “kita boleh bawa kuda ke sungai tapi belum tentu kuda itu akan minum”. Hal ini diumpamakan dengan program ini dimana kita boleh membimbing adik-adik halaqah namun kesedaran itu terpulang kepada adik-adik itu sendiri untuk menerimanya.
Suasana diprogram ini lebih islamik, dimulakan dengan bacaan doa, wanitanya bertudung dan menutup aurat manakala lelaki pula kebanyakannya berkopiah. Selain itu, ada sesetengahnya juga menggunakan panggilan ‘ana’ dan ‘anta’ semasa berbual. Hal ini sememangnya sinonim dengan Islam yang menggunakan kata ganti nama diri dalam bahasa Arab.
Sebelum majlis bersurai kami sempat bergambar sebagai kenangan. Terasa sedih apabila melihat gambar ini…mungkin selepas ini sudah tidak berjumpa lagi dalam program sebegini.
Sahabat Rakan Pengerak Addin, Yumi, Umi dan Linda.
No comments:
Post a Comment